Wednesday, 30 March 2016

FATWA BARU HUKUM LABUR ASB


Jabatan Mufti Negeri Selangor memutuskan bahawa hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3 yang bersidang pada 27 April 2017.

Hukum pelaburan itu adalah harus kerana peratusan pelaburan dalam syarikat patuh syaraknya telah melepasi 66% mengikut piawaian Suruhanjaya Sekuriti.

Pengharusan ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang bermaksud 'Hukum Berubah Menurut Perubahan 'Illah (sebab).

Keputusan yang dikeluarkan itu sebagai menukar keputusan yang dikuatkuasakan sebelum itu.

Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan fatwa yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011 yang memutuskan bahawa skim pelaburan ASN dan ASB tidak halal lantaran bertentangan dengan hukum syarak.

Antara alasan mereka ialah dana-dana ASN dan ASB secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah dan sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

Menurut fatwa itu lagi skim ASN dan ASB juga tidak diklasifikasikan sebagai dana unit amanah yang patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan yang haram terutamanya dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan riba.

Keputusan baru yang dikeluarkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3 yang bersidang pada 27 April 2017 itu adalah selaras dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Malis Kebangsaan tahun 2008 yang memutuskan pelaburan unit amanah ASNB beserta dividen dan bonus yang diperoleh adalah harus.

Selain Selangor, negeri lain yang turut mengharuskan pelaburan ASNB ialah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Labuan serta Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment