Wednesday 30 March 2016

Lidah mulut suara

Gabungan lidah, rongga mulut dan olahan nafas dari kerongkong melahirkan perkataan dan nada suara sebagai bahasa pertuturan ketika berkomunikasi.  Pertuturan adalah cara berkomunikasi paling mudah berbanding menggunakan bahasa isyarat. 

Individu tidak mampu bercakap dianggap cacat, biarpun nampak secara fizikal dia normal.  Dia terpaksa berkomunikasi secara bahasa isyarat yang tidak semua orang memahaminya.  Betapa sukar golongan bisu untuk berkomunikasi. 

Justeru, orang yang sempurna kemampuan lidahnya perlu bersyukur dan melahirkan suara yang enak didengar dan memberi manfaat.  Antara cara menunjukkan rasa bersyukur atas nikmat lidah sentiasa mengucapkan perkataan yang baik dan menjauhkan mengeluarkan kata-kata tidak enak didengar.

Allah berfirman yang bermaksud: “Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata dan lidah serta dua bibir, dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhinya).” (Surah al-Balad, ayat 8-10).

Jelaslah, semua anugerah Allah mesti digunakan untuk kebaikan.  Manusia perlu menggunakan akal yang berlandaskan kebenaran untuk menjaga nikmat yang Allah kurniakan agar tidak cenderung melakukan perbuatan yang ditegah.

Sesungguhnya, banyak individu yang tidak menjaga lidahnya.  Perbuatan mengumpat, fitnah, adu domba, kata-kata keji, menipu, sumpah bohong dan sebagainya adalah lahir dari lidah yang berniat busuk.

Banyak kesan buruk akibat lidah yang celupar.  Kata orang ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’.  Sebab itulah, besarlah faedahnya sesiapa mampu menjaga lidahnya daripada memperkatakan yang tidak baik.      

Sebab itu Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.  Setiap perkataan yang dikeluarkan dari mulut melibatkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah. 

No comments:

Post a Comment