Fitnah
ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau
agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang, keluarga atau
kumpulan. Perkataan fitnah berasal
perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.
Dalam
era teknologi maklumat mudah disebar fitnah. Alat yang dicipta telah disalahguna untuk keburukan. Penyebaran fitnah mudah disebarkan melalui
alat komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang disebarkan berita. Malah identiti penyebar juga boleh
dirahsiakan.
Fitnah
biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat
menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang
difitnahkan.
Kita
ditegah mencari keburukan orang lain untuk kebaikan diri sendiri. Sebaliknya, lakukan usaha sendiri secara
betul untuk mendapat apa dihajati. Lihat
dalam diri sendiri mencari kekuatan dan kelemahan diri.
Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: “Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan
melihat keaiban diri sendiri.” - (Hadis riwayat Muslim).
Jika
kita gagal melakukan sesuatu jangan dipersalahkan kepada orang lain. Menyalahkan orang lain tidak menyelesaikan
masalah. Malah, masalah menjadi semakin
kusut apabila saling tuduh menuduh.
Dosa
membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa fitnah tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang
difitnahkan memberi keampunan.
Kita
fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang yang diumpat bagi memohon maaf. Betapa besarnya dosa jika fitnah itu
ditujukan kepada kelompok orang ramai.
Dosa
fitnah tidak diampunkan biarpun telah bertaubat. Jadi berhati-hati apabila bercakap agar tidak
terlanjur melakukan fitnah. Jika
terlepas cakap, lebih baik mengaku kesalahan itu. Mudah-mudahan orang difitnah secara lepas
cakap itu memaafnya.
Dosa
membuat fitnah menghalang seseorang daripada memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk
syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” - (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim).
Orang
menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana dirinya akan diberikan malu
oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang
Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam
neraka pada hari kiamat” - (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari Abu Zar).
Ajaran
Islam bukan saja menegah menyebarkan berita fitnah, bahkan berita benar
sekalipun jika orang berkaitan berita itu tidak mahu ia disebarkan. Jika menyebar berita benar dilarang, inikan
pula menyebarkan berita tidak benar.
Menceritakan
hal benar yang tidak disukai orang dipanggil ghibah. Rasulullah menjelaskan makna ghibah dan
melarang ia dilakukan apabila ditanya seorang sahabat.
Tanya
sahabat: “Wahai Rasulullah, apa itu ghibah?” Baginda menjawab: “Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu di
belakangnya.” Kemudian sahabat bertanya
lagi: “Bagaimana jika apa disebutkan itu benar?”
Baginda menjawab dengan sabda bermaksud: “Kalau
apa disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika perkara itu tidak
benar, engkau sudah melakukan buhtan (pembohongan besar).” - (Hadis riwayat
Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).
No comments:
Post a Comment