Keindahan ajaran Islam
terpancar melalui amalan kehidupan seharian yang menetapkan konsep mampu dan
kesederhanaan sebagai teras perlaksanaan setiap hukum yang ditetapkan. Asas ini
lebih mendatangkan kebaikan dan keharmonian hidup kerana itu adalah fitrah kejadian
manusia.
Sebab itu Allah SWT tidak
memberati sesuatu perintah dilaksanakan, melainkan apa yang terdaya dilakukan
oleh manusia. Firman Allah SWT bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang
melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286).
Sesungguhnya tidak ada perintah
melaksanakan ibadat yang sukar untuk dilakukan. Bahkan, Islam memberi
kelanggoran untuk tidak melaksanakan sesuatu ibadat wajib ketika keadaan
tertentu. Ia memberi satu kemudahan dan keselesaan untuk manusia melaksanakan
keperluan hidup.
Contohnya, mereka yang berpuasa
diharuskan berbuka sekiranya dalam musafir. Tidak harus orang bermusafir
terus berpuasa sehingga boleh mendatangkan mudarat kepada dirinya. Bahkan
wajib dia berbuka jika sekiranya dia terus berpuasa akan menyebabkan mengancam
nyawanya. Sesungguhnya apa saja yang telah ditetapkan oleh agama bertujuan
memberi kebaikan.
Dari Abu Hurairah, iaitu Abd
al-Rahman Ibn Sakhr katanya: “Aku dengar Rasulullah bersabda: “Apa saja yang
aku larang kamu mengerjakannya, maka jauhilah, dan apa yang aku suruh kamu
lakukannya maka lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya binasa
orang-orang sebelum kamu oleh banyak pertanyaan mereka dan berselisih dengan
nabi-nabi mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Umat Islam sudah memadai
mengikut apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang tanpa perlu mencari
sesuatu yang lain dengan kononnya ingin mendapat sesuatu lebih baik, sedangkan
perkara itu tidak disuruh oleh Rasulullah SAW.
Allah SWT telah memperakui apa
yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri
Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (Surah al-Ahzab, ayat 21).
No comments:
Post a Comment