Wednesday 30 March 2016

Pendakwah jadi contoh

Pendakwah adalah contoh kepada orang yang ingin didakwah. Jika kita ingin mengajak dan mengajar orang lain melakukan kebaikan, maka terlebih dahulu pendakwah melakukan atau menunjukkan perkara itu. 

Dakwah secara amalan ini merupakan contoh terbaik bagaimana untuk menyakinkan apa yang ingin kita harap orang lain lakukan. 

Antara kejayaan dakwah Rasulullah SAW ialah apabila baginda dilihat sebagai insan sempurna terbaik yang perlu dijadikan contoh ikutan. Tidak ada dalam diri Rasulullah SAW sikap buruk.
           
Pendakwah mahupun guru, perlu mengamalkan perkara baik untuk dijadikan contoh. Amalan baik bukan boleh dilakukan secara mudah. Ia perlukan amalan berturusan hingga menjadi identiti diri. Ada orang yang hanya berlakon baik. 

Cara itu mungkin berjaya menipu orang pada masa tertentu, tetapi tidak selamanya. Ini kerana jika ia bukan lahir dalam diri secara jujur, lambat laung perkara yang buruk atau dirinya yang sebenar akan terdedah dengan sendiri. 

Justeru, guru perlu menyediakan diri untuk sentiasa melakukan amalan baik. Perkara teras yang perlu dilakukan ialah kikhlasan dan kejujuran melakuknan tugas. Amalan baik perlu sebati dalam diri sehingga kita tidak terpengaruh untuk melakukan perkara buruk dengan sengaja. 

Banyak kegagalan dalam peranan mendidik ialah apabila guru sendiri mempunyai metaliti dan perbuatan yang tidak baik. Bagaimana guru ingin menengur murid jangan merokok jka guru sendiri merokok. 

Jika guru menyuruh pelajar berdisiplin, malangnya guru sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik. Inilah mengapa amat perlu mereka yang ingin terjun secara langsung dalam bidang pendidikan dan dakwah menyiapkan diri atau mengamalkan perkara yang baik sepanjang masa.

Dalam hal apa sekalipun, soal keyakinan diri amat penting.  Kita perlu yakin mampu melakukan tugas itu dengan sebaik mungkin. Tanpa keyakinan diri, akan wujud perasan rendah diri, hilang tumpuan, gagal melaksanakan apa yang sepatutnya dan sebagainya. 

Kita dapati sekarang ini banyak yang menceburi bidang perguruan atau pendidikan bukan kerana minat, sebaliknya kerana tiada peluang pekerjaan lain.  

Fenomina ini memberi kesan yang buruk kepada bidang pendidikan negara. Tanpa minat akan menyebabkan mereka tidak begitu bersungguh-sungguh dalam menyiapkan diri untuk melaksanakan amanah yang besar itu. Akibatnya, mereka tidak berkeyakinan diri.
           
Oleh sebab itu, apapun sebab seseorang itu menceburi bidang pendidikan dan ingin menjadi pendakwah, binalah keyakinan diri untuk melaksanakan tugas itu sebaik mungkin. Jangan persiakan peluang dan amanah yang diberikan kepada kita. 

Harapan yang besar seluruh rakyat agar guru mampu melaksanakan tugas secara yang terbaik. Masa depan negara banyak bergantung kepada cara mana guru mendidik anak bangsa.

No comments:

Post a Comment