Wednesday 30 March 2016

BATASAN DALAM BERHIBUR

Masyarakat Islam di negara kita ramai yang keliru mengenai hiburan dan muzik yang diharuskan dalam Islam. Masih ramai yang berpendapat hiburan dan irama muzik Islam mesti berasaskan kepada kesenian dan kebudayaan Arab dan Parsi.  

Kesenian dan kebudayaan adalah salah satu daripada cabang kehidupan manusia. Setiap bangsa mempunyai kesenian dan kebudayaan tersendiri yang sesuai dengan pembinaan jati diri bangsa. 

Dr Yusuf al-Qaradawi menggariskan panduan yang mengharuskan pemainan muzik dan nyanyian. Perkara pertama; lirik lagu, seni kata dan persembahannya tidak bertentangan akidah Islam dan hukum syarak. Lirik lagu yang mempertikaikan akidah Islam dan kebesaran Allah, tidak harus didengar.

Kedua; persembahan hendaklah dalam bentuk sopan. Ia tidak melibatkan pergerakan yang memberangsangkan nafsu dan melalaikan. 

Ketiga; tidak melibatkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, tidak diadakan di tempat yang boleh mendatangkan fitnah, tidak diadakan di tempat yang gelap atau separuh gelap yang boleh memberi ruang kepada syaitan mempengaruhi perkara tidak baik.

Keempat; tidak dilakukan secara keterlaluan sehingga mendatangkan pelbagai perkara buruk. Apa lebih penting hiburan itu tidak melalaikan manusia daripada melakukan perintah-perintah Allah.

Pada umumnya, seni nyanyian dan muzik bertujuan melahirkan hiburan dan keseronakan. Segala bentuk hiburan berfungsi membina keterampilan diri, mempamerkan bakat, menghasilkan ketenangan jiwa, menjana pemikiran kreatif dan menghilangkan rasa tegang. 

Keadaan jiwa yang tenang dan fikiran yang tajam mudah menerima hakikat kehidupan di sekelilingnya. Hal ini melahirkan cetusan rasa dan keinginan yang sentiasa peka untuk melahirkan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan serasi.

Imam al-Ghazali menjelaskan jiwa yang sihat ialah jiwa yang segar apabila mendengar suara petikan biola, segar apabila melihat bunga-bunga mekar sekitar taman. Sebaliknya, jiwa yang rosak, ialah yang gagal menikmati suara petikan biola, jiwa yang tidak terhibur sekalipun dikelilingi taman yang penuh bunga-bungaan.

Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar, berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu, sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempalajari sesuatu daripadanya, adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. 

Sesuatu yang berkaitan tuntutan naluri harus dipenuhi, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.  Aktiviti berbentuk kesenian dan kebudayaan dapat melahirkan perasaan gembira, kepuasan dan menjalin hubungan sesama manusia.

JAGA LIDAH ELAK BENCANA

Lidah sebagai alat berbicara umpama senjata bermata dua. Lidah dapat digunakan dalam ketaatan kepada Allah SWT dan juga ketaatan kepada syaitan. Disebabkan kata-kata, seseorang jadi mulia di sisi Allah, tetapi disebabkan kata-kata juga boleh mendapat celaka.

Umumnya, terdapat dua bencana yang ada pada lidah iaitu menyebabkan kerosakan daripada berbicara batil dan mendiamkan diri daripada menyatakan kebenaran sedangkan ia perlu diucapkan demi kepentingan semua.

Orang yang berbicara dengan kebatilan, dia adalah syaitan yang melakukan maksiat kepada Allah SWT. Orang yang diam daripada kebenaran pula adalah syaitan yang bisu dan dia juga bermaksiat kepada Allah SWT.

Orang yang beruntung adalah yang menahan lidahnya daripada kebatilan dan menggunakannya untuk perkara bermanfaat.

Anehnya, seseorang itu mudah menjaga diri daripada makanan yang haram, berbuat zalim kepada orang lain, berzina, mencuri, minum arak, melihat wanita tidak halal dilihat, tetapi sukar untuk mengawal lidah daripada membicarakan perkara sia-sia.

Terkadang kita lihat seseorang yang dikenali kerana agamanya, zuhudnya dan ibadahnya, namun masih mengucapkan kalimat yang menyebabkan kemurkaan Allah. Dia tidak memerhatikan perkataan yang keluar daripada mulutnya.

Satu kalimat saja boleh menyebabkan seseorang tersungkur dalam neraka selama 70 tahun seperti sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ada seseorang yang berbicara dengan satu kalimat, dan dia tidak menganggapnya berbahaya, Dengan sebab satu kalimat itu dia terjerumus selama 70 tahun di dalam neraka.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Banyak sekali orang yang menjaga diri daripada perbuatan keji dan maksiat, namun dengan lidahnya mencabul kehormatan orang yang masih hidup atau sudah meninggal.

Rasulullah SAW khuatir terhadap umatnya. Sufyan bin Abdulloh Ats-Tsaqofi berkata: “Aku berkata, wahai Rasulullah, katakan kepadaku dengan satu perkara yang aku akan berpegang dengannya! Baginda SAW bersabda: Katakanlah, Rabbku adalah Allah, lalu istiqamahlah. Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah yang paling anda khawatirkan atasku? Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda: Ini.” (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Menyedari hakikat ini, maka awasilah pertuturan dan percakapan kita pada setiap masa dan waktu. Jagalah lidah dan berkata yang baik saja. Kita akan dapat mengalahkan syaitan serta menjadi manusia yang senang di dunia dan bahagia di akhirat.

BERTENGKAR TIRU SIFAT SYAITAN

Syaitan berusaha sedaya upaya mempengaruhi manusia melakukan kejahatan dengan apa keadaan sekali pun. Justeru, syaitan sentiasa membisikkan ke telinga perkataan buruk agar diucapkan untuk menimbulkan keadaan tidak baik berkaitannya. 

Malah, perkataan ‘syaitan’ digunakan dalam maki hamun. Ketika itu pengaruh syaitan lebih kuat berbanding keteguhan iman. Kewarasan fikiran tidak lagi berjaya untuk mengawal daripada perkataan buruk terus diucapkan. 

Perkataan buruk itu terus diulang-ulang yang dianggap mendatangkan kepuasan atau menandakan kejayaan. Hakikat yang sebenarnya ialah yang merasa puas dan berjaya ialah syaitan.  

Sesiapa mencarut bermakna mengikuti sifat syaitan yang sentiasa menimbulkan hubungan buruk sesama manusia. Perkataan yang tidak sanggup diucapkan ketika keadaan biasa akan terkeluar juga apabila diri dikuasai oleh syaitan.

Justeru, bahasa mencarut dan kasar tidak wajar diucapkan dalam apa jua keadaan. Kalaupun ingin menggambarkan keburukan seseorang, masih banyak perkataan baik boleh digunakanut mengelak penggunaan maksud buruk. Cara itu melambangkan kematangan dan peribadi baik penuturnya. 

Individu yang terus atau suka menggunakan perkataan buruk termasuk golongan menzalimi diri sendiri. Apa yang dilakukan itu meletakkan dirinya dalam kerugian yang berterusan dan semakin menjauhkan diri dari kebenaran.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah yang buruk sesudah beriman, dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11).

Individu yang tidak menjaga lidahnya daripada mengucapkan perkataan buruk adalah anda kekuatan imannya belum benar-benar teguh. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak akan teguh iman seseorang sebelum hatinya menjadi teguh, dan tidak teguh hati seseorang sebelum kata-katanya menjadi teguh.” (Hadis riwayat Ahmad).

Menyalahgunakan fungsi lidah membawa kepada keadaan kufur nikmat yang Allah kurniakan. Banyak individu yang ditarik balik kebolehan bercakap apabila diserang penyakit lumpuh atau barah berkaitan mulut dan saluran pernafasan. Ketika itu kita akan merasakan betapa besarnya nikmat boleh bercakap.

Oleh itu, hargailah nikmat bercakap dengan mengucapkan perkataan yang baik dan mengelak daripada mengeluarkan perkataan tidak diradai Allah. 

Bidalan Melayu menyebut ‘lidah tidak bertulang’ bermaksud bebas bercakap jika tidak dikawal. Sebab itu lidah boleh membawa seseorang berada dalam keadaan bahaya dan sebaliknya.

Jika kita mempergunakan lidah untuk membaca al-Quran, berzikir, berdoa kepada Allah, amar makruf dan nahi mungkar, atau melakukan ketaatan kepada Allah, ia adalah bentuk kesyukuran terhadap nikmat pancaindera dikurniakan Allah SWT.

MENDIDIK DENGAN CARA MEMBERI PENJELASAN

Penjelasan langsung adalah satu proses mencerita atau memberitahu mengenai sesuatu perkara yang dilihat atau didengar pada masa itu. Melalui kaedah ini, ibu bapa atau pendidik akan menjelaskan kepada kanak-kanak apa yang berlaku, kesan atau hal yang berkaitan dengannya. 

Cotohnya, jika anak melihat orang dewasa merokok, maka dijelaskan bahawa perbuatan itu tidak baik. Ia mendatangkan keburukan dan ingatkan kepada anak agar tidak mencuba untuk melakukan perbuatan itu. Jika ada kotak rokok, tunjukkan kepada mereka kesan perbuatan merokok seperti dipaparkan di kota rokok itu. 

Mungkin dalam sesetengah situasi, kanak-kanak akan menyoal balas atau ingin mendapat kepastian. Jika kita tidak dapat memberi jawapan tepat, cukuplah menjelaskan bahawa mereka akan memahaminya apabila dewasa nanti. 
           
Memang dalam kaeadah penjelasan ini kita akan berdepan dengan masalah apabila banyak perbuatan yang kita katakan buruk, tetapi mereka melihat orang dewasa melakukannya, lebih-lebih lagi orang yang dipercayai atau dekat dengan kanak-kanak itu. 

Contohnya, jika dijelaskan bahawa merokok itu berbahaya dan mendatangkan penyakit, mereka mungkin bertanya balik mengapa orang yang mereka lihat merokok itu masih dalam keadaan sihat. Maka itu pentingnya kita menjawabnya dengan berhemah dan menyakinkan.   

Pendekatan dakwah perlu mengikut keadan semasa. Apa yang sesuai dan tepat pada masa lalu mungkin sudah tidak sesuai untuk masa kini. Maka itu, pendakwah perlu mengguanakan pendekatan yang sesuai dengan keadan semasa untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan dakawah.  Antara pendekatan yang sesuai digunakan pda pada masa kini ialah:

Hari ini kanak-kanak semakin kehadapan dari segi pemikiran dan penguasaan maklumat. Kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun atau yang belum memasuki alam p[ersekolahan sudah tahu menggauna dan mengakses komputer. Bayangkan pula tahap pemikiran dan penguasaan kanak-kanak yang berumur 12 tahun. 

Jadi, apa saja yang ingin dinyatakan kepada kanak-kanak perlu berasas kepada fakta. Contohnya, jika ingin melarang kanak-kanak duduk di atas bantal, nyatakan bahawa perbuatan itu akan menyebabkan bantal itu pecah atau koyak kain sampulnya. 

Ini berbeza amalan pada masa lalu di mana jika ingin melarang kanak-kanak duduk di atas bantal dikatakan perbuatan itu akan menyebabkan tumbuh bisul di punggung. Kanak-kanak dulu percaya kepada perkara itu dan takut untuk duduk di atas bantal.

Sekiranya kita tidak memberi secara fakta, dan kemudiannya mereka mendapat tahu fakta sebenar melalui sumber lain, maka mereka akan hilang keyakinan kepada kita.

JAGA MULUT TANDA IMAN

Percakapan juga seperti perbuatan yang melambangkan tahap keimanan seseorang. Orang beriman menjaga setiap tutur katanya bagi mengelak perkara buruk akibatnya seperti mengumpat, menyebar fitnah, mengeji dan berbohong. 

Orang yang bercakap perkataan tidak baik termasuk mereka yang tidak teguh imannya. Mereka tidak dapat mengelak diri daripada bercakap perkataan tidak baik sedangkan agama menyuruh berbuat demikian.

Memandangkan besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah SAW menganjurkan agar sesiapa tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata yang tidak baik, adalah lebih baik dia mengamalkan sifat ‘mendiamkan diri’. 

Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Kita biasanya mudah tergelincir lidah mengeluarkan kata-kata bermaksud dan membawa kesan buruk sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Maka itu, berdiam diri adalah pencegah kepada melakukan dosa. 

Individu yang bisu tidak melakukan dosa berkaitan mulut atau lidah. Itu juga dikira satu rahmat, tetapi tentulah kita tidak mahu menjadi bisu semata-mata untuk tujuan itu. Individu bisu sekadar tidak melakukan dosa, tetapi tidak mendapat ganjaran pahala berkaitan menahan diri bercakap perkataan buruk kerana semamangnya dia tidak boleh bercakap.

Sememangnya berdiam diri adalah cara paling mudah, biarpun payah dilakukan, untuk menyelamatkan diri daripada terlibat dengan fitnah, mengumpat dan berkata-kata perkataan tidak perlu. Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang diam, dia akan selamat.” (Hadis riwayat Ahmad).
 
Individu Muslim wajib diam atau mengelak diri daripada memperkatakan perkataan buruk. Hadis diriwayatkan Abu Mansur ad-Dailami bermaksud: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang melaksanaknnya.”

Tidak dinafikan kadangkala perkataan yang diucapkan tidak disengajakan. Jadi, sekiranya telah terkeluar perkataan tidak baik, cepat-cepat bertaubat dan mengaku kesalah diri. Adalah mulia orang yang mengaku kesalahan dan ikhlas menarik balik keterlanjuran kata-kata.

Perkataan hina dan memualkan adalah lambang keceluparan mulut dan kekotoran hati pengucapnya.  Kebiasannya, kata kasar dan mencarut selalu digunakan ketika pergaduhan dan tuduhan melulu yang didorong oleh perasaan dikuasai nafsu syaitan. 

CARA DAKWAH YANG BERKESAN

Berbicara dengan berhemah dan santun dalam menyampaikan teguran amat penting dilakukan semasa berdakwah. Selain itu, teguran itu mesti dilakukan pada tempat dan masa yang sesuai.  Bayangkan jika kita menegur seseorang ketika berada di hadapan orang ramai. Tentu perbuatan itu boleh mendatangkan aib dan rasa dendam.

Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan dalam firman yang bermaksud: “Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik (bijaksana) dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” (Surah an-Nahl, ayat 125).

Dalam keadaan tertentu, teguran tidak sesuai dilakukan tanpa terlebih dahulu wujud hubungan antara pendakwah dengan orang didakwah. Untuk dakwah lebih berkesan perlukan kepada kejelekitan atau hubungan akrab saling mempercayai dan menghormati. Mereka boleh menerima dakwah itu secara lebih terbuka dan memikirkan kebenarannya.

Dakwah adalah usaha membawa manusia ke jalan yang benar, yakni agama Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW. Orang yang didakwah itu sama ada orang Islam yang sudah lari daripada jalan yang benar, ataupun mereka yang belum beragama Islam. 

Tugas dakwah perlu dilakukan setiap muslim mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat.” (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi)

Namun dalam berhemah dan bersantun, perkara yang benar perlu dipertahankan. Jika perlu dilakukan dengan ketegasan dan segera, serta difikirkan bahawa itulah langkah yang terbaik untuk menghalang keburukan daripada terus berlaku atau menjadi semakin buruk, tindakan itu perlu dilakukan. 

Ini ditakuti nanti jika tidak dicegah segera, orang akan menganggap perkara itu tidak salah. Dalam banyak hal, orang yang tidak mempunyai pegangan agama atau cetek pegangan agama akan mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan dengar.

Contohnya dalam soal penyebaran ajaran sesat, tindakan tegas menangkap dan menghadapkan mereka ke mahkamah perlu dilakukan segara. Tindakan itu dapat mengelak ajaran itu tersebar luas dan diterima orang kebanyakan.

Ingatlah, tugas dakwah dan mencegah kemungkaran perlu dilakukan bagi memastikan kesucian agama terus terpelihara. Kita jangan terikut-ikut amalan bani Israil yang menyebabkan mereka semakin sesat daripada jalan kebenaran. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

FUNGSI OMEGA BAKAR LEMAK

Kebaikan, manfaat dan kebaikan Omega-3 ialah membakar lemak dengan bertindak balas lebih baik terhadap hormon yang dipanggil Leptin (Leptin adalah perkataan Yunani bagi nipis). 

Leptin memberitahu badan (otak) untuk mengurangkan selera makan supaya boleh mengekalkan atau mengurangkan berat badan. Leptin juga meningkatkan metabolisme dengan meningkatkan pengeluaran tiroid (tiroid mengawal metabolisme). Selain itu leptin juga menyebabkan badan membakar lemak untuk tenaga.

Omega-3 membantu mengurangkan berat badan dengan cara  mengawal kelaparan dengan menstabilkan paras gula darah. Satu kajian di Australia menunjukkan orang mengikuti program senaman mengambil omega-3, menunjukkan pembakaran lemak lebih tinggi berbanding dengan orang yang bersenam tanpa pengambilan omega 3. 

Manakala satu kajian dilakukan di Jepun mencadangkan bahawa omega-3 menghalang  pembentukan lemak badan dan menggalakkan pembakaran lebih lemak.

Omega sebagai agen pemecah kolesterol sebaiknya dimakan 15 minit sebelum makan tengah hari dan makan malam supaya telah bersedia untuk mengurai lemak dan kolesterol yang terdapat di dalam makanan.

Omega mengaktifkan hormon dalam badan untuk membakar lebih lemak, meningkatkan tahap metabolisma tubuh. Omega juga mengurangkan penghasilan lemak perlindungan di pinggang, mengurangkan selera makan dan menukarkan lemak kepada tenaga.

Fungsi lecithin pelarut kolesterol

Khasiat dan kelebihan lecithin:
- Lecithin bertindak sebagai pelarut untuk kolesterol, triglycerides dan lemak-lemak yang lain.
- Bertindak mengemulsikan lemak (memecahkan lemak).
- Lecithin memainkan peranan utama dalam penyerapan zat-zat penting dari saluran darah ke dalam sel-sel badan. Tanpa Lecithin yang mencukupi, membran sel akan mengeras dan seterusnya menyukarkan proses penyerapan. Banyak faktor seperti bahan-banyak kimia dari persekitaran yang tercemar dan bahan-bahan metal menyebabkan membran sel mengeras yang mana pastinya menyukarkan proses penyerapan zat-zat.
- Lecithin membantu mengurangkan atau mencegah penyakit berkaitan hati.
- Lecithin merupakan sebahagian dari unsur yang mengelilingi fiber saraf. Tanpanya,fungsi saraf ni kurang efisien.
- Lecithin membantu sistem imunisasi dengan membalut sel darah merah kita dan seterusnya memberi perlindungan dari serangan virus, germs, bakteria, di samping struktur Lecithin itu sendiri melindungi sel dari teroksida.
- Lecithin juga dikenali sebagai makanan otak dan saraf. Ia membantu sel otak berkembang, penting dalam transmisi saraf impuls dalam otak dan memainkan peranan dalam neuro transmitter (berkaitan short term memory). Lecithin dipercayai mampu mengurangkan atau mencegah senility (nyanyuk) atau Alzheimer’s disease. Malah sesetengah pakar menyarankan pengambilan 7000mg sehari untuk memulihkan sistem ingatan.
- Lecithin juga dikatakan sumber hormon neurotransmitter di mana ia menggalakkan proses tidur. Kekurangan hormon ini dikatakan punca insomnia..
- Lecithin adalah asid lemak perlu yang penting dalam penjagaan paru-par kerana kebolehannya mencairkan mukus dan mencegah iritasi. Dan sebab itulah ianya berguna bagi mereka yang ada alergi, hay fever, asma, bronkitis dan emphysema.
- Lecithin bertindak sebagai pelincir bagi sendi (joint) dan membantu dalam penjagaan tisu buah pinggang dan sistem penghadaman.
- Lecithin adalah zat untuk kecantikan. Ia diperlukan untuk menghasilkan rambut yang sihat, cantik berkilat, kulit yang lembut gebu dan juga dalam mencegah eczema.
- Lecithin diperlukan dalam penghasilan pelbagai hormon seperti epinephrine. Sebab tu ianya amat berguna dalam mengurangkan atau mencegah PMS dan gejala-gejala menopause.
- Lecithin bersama unsur-unsur lain digunakan untuk membuat BILE. BILE ni fungsinya ialah mencairkan lemak. Pengemulsian ini memudahkan penyerapan zat-zat seperti vitamin A, D, E dan K ke dalam badan.

Alfafa singkir lemak kolestrol

Alfalfa ini merupakan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai sebagai raja segala tumbuhan. Alfalfa adalah sejenis pokok renek yang mempunyai akar menjalar ke dalam sepanjang tujuh meter, berbanding tumbuhan biasa yang akarnya tidak sampai sedalam itu.

Oleh kerana akar alfalfa yang panjang, akar alfalfa mampu menyerap pelbagai vitamin dan mineral mengikut lapisan dan kedalaman tanah dan zat akan terkumpul dengan banyak dan padatnya pada pokok alfalfa kerana pokok yang renek.

Kelebihan, manfaat, kebaikan dan peranan alfalfa:
- Mencuci hati, darah dan usus.
- Mengembalikan kenormalan badan yang berasid
- Menghilangkan toksin dari badan.
- Melawan alahan. 
- Baik untuk perubahan patologi di dalam usus dan perut 
- Memperbaiki masalah saluran penghadaman.
- Menyingkirkan lemak dan kolesterol. 
- Sebagai span yang bertindak menyerap kolesterol.
- Mengalkalikan badan untuk memperbaiki sel-sel kanser
- Melegakan keletihan. 
- Mencegah atau merawat atritis. 
- Legakan sakit-sakit sendi dan belakang.
- Membantu hilangkan kelesuan dan tekanan.
- Memberi kelegaan semasa period.
- Membantu merawat asma.
- Mencuci usus bagi membuang toksik.
- Membantu membuang angin dalam badan.
- Membantu mencuci buah pinggang
- Merawat kencing kotor.
- Membantu masalah keputihan pada wanita.
- Membesar dan menegangkan payudara.
- Memulihkan urat selepas bersalin.
- Membantu masalah penghadaman dan pencernaan.
- Meningkatkan stamina lelaki.
- Membantu melegakan masalah sembelit

Lidah mulut suara

Gabungan lidah, rongga mulut dan olahan nafas dari kerongkong melahirkan perkataan dan nada suara sebagai bahasa pertuturan ketika berkomunikasi.  Pertuturan adalah cara berkomunikasi paling mudah berbanding menggunakan bahasa isyarat. 

Individu tidak mampu bercakap dianggap cacat, biarpun nampak secara fizikal dia normal.  Dia terpaksa berkomunikasi secara bahasa isyarat yang tidak semua orang memahaminya.  Betapa sukar golongan bisu untuk berkomunikasi. 

Justeru, orang yang sempurna kemampuan lidahnya perlu bersyukur dan melahirkan suara yang enak didengar dan memberi manfaat.  Antara cara menunjukkan rasa bersyukur atas nikmat lidah sentiasa mengucapkan perkataan yang baik dan menjauhkan mengeluarkan kata-kata tidak enak didengar.

Allah berfirman yang bermaksud: “Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata dan lidah serta dua bibir, dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhinya).” (Surah al-Balad, ayat 8-10).

Jelaslah, semua anugerah Allah mesti digunakan untuk kebaikan.  Manusia perlu menggunakan akal yang berlandaskan kebenaran untuk menjaga nikmat yang Allah kurniakan agar tidak cenderung melakukan perbuatan yang ditegah.

Sesungguhnya, banyak individu yang tidak menjaga lidahnya.  Perbuatan mengumpat, fitnah, adu domba, kata-kata keji, menipu, sumpah bohong dan sebagainya adalah lahir dari lidah yang berniat busuk.

Banyak kesan buruk akibat lidah yang celupar.  Kata orang ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’.  Sebab itulah, besarlah faedahnya sesiapa mampu menjaga lidahnya daripada memperkatakan yang tidak baik.      

Sebab itu Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.  Setiap perkataan yang dikeluarkan dari mulut melibatkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah. 

Nilai lidah dan mulut

Islam amat menitikberatkan soal lidah atau percakapan. Walaupun mampu bercakap dan meluahkan rasa hati melalui percakapan, ia perlu selalu diawasi dan berhati-hati jangan sampai terpelanting ke luar batasan ajaran agama.

Setiap Muslim selalu berusaha menjaga diri dan keluarga atau masyarakatnya daripada terjerumus ke kancah maksiat atau melakukan perkara yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah lebih-lebih lagi dalam hal percakapan.

Seorang Muslim selalunya mengeluarkan kata-kata yang baik, lembut serta memberi manfaat kepada si pendengar kerana sedar Allah menjadikan lidah bukan untuk berbicara sesuatu yang sia-sia, tetapi yang mendatangkan faedah bukan saja kepada diri sendiri bahkan orang lain juga.

Firman Allah yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat makruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 114)

Daripada ayat itu beberapa contoh yang dimaksudkan dengan perkataan yang baik iaitu: Menyuruh manusia bersedekah sebahagian harta yang dikurniakan Allah kepada orang yang memerlukan seperti orang miskin, anak yatim dan orang susah.

Menyuruh orang berbuat baik dalam segala hal sebagai merealisasikan tuntutan agama di samping terlebih dulu diri sendiri melakukan kebaikan.

Mendamaikan dua pihak yang sedang bertelagah atau berbalah seperti memberi nasihat supaya hidup berbaik-baik seperti yang terkandung dalam suruhan Rasulullah SAW, di samping menyedarkan mereka mengenai keburukan akibat daripada hidup berbalah, tidak bertegur sapa dan berpecah belah.

Sesungguhnya percakapan yang terkeluar daripada mulut menjadi kayu ukur kepada keimanan seseorang. Ini dapat kita fahami daripada sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Tidak lurus keimanan seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Boleh dikatakan seorang yang beriman, senantiasa mengeluarkan kata-kata baik dan berfaedah. Orang tidak beriman pula katanya keluar mengikut rentak nafsu atau mengikut hati yang jauh daripada hidayah. Kata-katanya kedengaran tidak keruan, mencarut, mengejek, memfitnah dan menipu.

Lantaran itu, Islam sebagai agama paling lengkap, tinggi dan suci mengajar manusia bukan saja sebatas ibadat dan akidah, bahkan juga akhlak termasuk percakapan. Islam memberi panduan dalam berkata dan menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menghayati dan mematuhinya baik dalam keadaan bagaimana sekalipun.

Dalam pertuturan, perbualan atau percakapan, kita perlu mengikut beberapa ketetapan antara lain: bercakap benar, bercakap perkara baik dan bercakap menggunakan kata yang sopan dan lembut.

Kata yang lembut dan sopan dengan bahasa baik, disertai nada suara rendah dan menawan, mempunyai tarikan tersendiri bagi orang yang mendengarnya kerana hati akan tenteram dan apa diperkatakan mudah difahami serta mewujudkan kemesraan.

Al-Quran menyebut saranan supaya berkata sopan dan lembut melalui firman yang bermaksud: “Dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman, ayat 19)

Khasiat kurma membantu proses penghadaman

Kurma dikenali sebagai buah universal yang sesuai dimakan oleh semua peringkat umur dan bila-bila masa. Kurma kaya dengan nutrisi yang baik untuk tubuh, malah ia mengandungi lebih banyak kalori dan karbohidrat.

Ia juga mengandungi vitamin, mineral dan serat serta antioksidan yang dapat menjauhkan anda daripada pelbagai penyakit berbahaya.

Sebab itu, amalan makan kurma perlu dilakukan sepanjang tahun dan bukannya hanya ketika berbuka puasa sahaja.

Seperti mana juga buah-buahan lain, kurma mempunyai banyak jenis.

Antara jenis kurma yang terkenal ialah kurma mariami.

Buah kurma maryami juga dikenali kurma piarom atau kurma coklat. Kurma mariami salah satu jenis kurma semi-kering yang paling lazat dan kaya khasiat.

Kurma mariami mempunyai rasa dan rupa yang unik dan dianggap kurma terbaik kerana pengeluaran mereka ekslusif di Hajiabad, Iran dalam persekitaran organik dan bersih.

Kurma mariami adalah kurma panjang, kurus, berbentuk bujur, dengan kulit nipis dan berwarna hampir hitam. 

Kurma maryami dapat disimpan selama 18 bulan. 

Kurma mariami mengandungi nutrien penting seperti vitamin (A, B, C dan E), mineral, zat besi, potasium, magnesium, mangan, protein, serat, karbohidrat dan gula ringkas. 

Sumber serat yang besar, menggalakkan kesihatan pencernaan, dan juga telah didapati mampu membantu mencegah kanser tertentu seperti kanser kolon dan kanser perut. 

Kadar potasium yang tinggi dapat membantu menjaga tekanan darah yang sihat dan kadar magnesium yang tinggi bermanfaat untuk otot dan saraf. Kurma maryami sangat baik untuk lelaki. 

Mengikut hasil kajian ahli sains Mesir pula, khasiat kurma terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari penyakit barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah semasa kelahiran.

Rasulullah SAW gemar makan kurma atau mengutamakan memakan kurma berbandinga makanan lain.

Hadis riwayat Ahmad bermaksud: "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air."

Dari Ibnu Qayyim dalam Tib An Nabawi, Nabi SAW berkata: "Kurma dapat menguatkan perut, hati, ingatan, untuk mengembangkan pembangunan badan, menyembuhkan penyakit dan bertindak sebagai makanan dan minuman."

Kurma sarat dengan serat yang tinggi, gula semulajadi, vitamin (A, B-Kompleks, dan lain-lain), asid amino dan mineral (kalium, kalsium, magnesium, dan lain-lain) yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan dan prestasi puncak kedua-dua minda serta badan.

Satu kajian mendapati, khasiat kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi.

Khasiat kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

Dapatan kajian juga menyatakan kurma membantu mencegah daripada sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, lesu dan barah usus besar, merangsangkan selera makan, menguatkan ingatan dan melawaskan.

Di samping itu, kurma dapat menambahkan tenaga seksual.

Mengikut hasil kajian Ahli Sains Mesir telah terbukti khasiat kurma dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan serta mencergaskan minda dan membantu tumbesaran kanak-kanak.

Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah dan menghindari dari penyakit barah, merawat buah pinggang dan mencuci hati, dan membantu mengurangkan pengaliran darah semasa kelahiran.

Manakala sudut sains pula mengatakan, kandungan protein di dalam kurma adalah lebih kurang 2.5%, serat 8.0% manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, yakni sehingga 63%, majoritinya adalah glukosa. 

Lemak yang terkandung di dalamnya pula adalah sangat sedikit iaitu sekitar 0.4% sahaja. 

Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional memandangkan ia juga kaya denga zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, C dan niasin.

Pengambilan kurma sebanyak 65 gram atau lima biji sehari akan membekalkan 40mg kalium yang boleh mengurangkan 40% risiko serangan penyakit strok.

Kandungan kalium ini membantu menurunkan tekanan darah dan membekalkan tenaga untuk mencegah strok secara langsung.

Khasiat kurma:
- Membekalkan tenaga.
- Menurunkan tekanan darah.
- Mencegah angin ahmar.
- Melancarkan perjalanan darah.
- Mencerdaskan minda.
- Menguatkan urat rahim semasa proses kelahiran.
- Membantu memudahkan kelahiran bayi.
- Menghindar penyakit barah.
- Membantu proses penghadaman.
- Mencegah lemah otot.
- Mengurangkan sengal-sengal badan,
- Mencegah barah urus.
- Menambahkan tenaga seksual.
- Membantu proses tumbesaran.
- Menurunkan paras kolestrol dalam darah.
- Meningkatkan kesihatan jantung.
- Antivirus.
- Mengawal paras gula.
- Menguatkan tulang dan gigi.
- Antioksidan.
- Mencegah keradangan.

Pada Mac 2021, penyelidik di Nigeria mendapati kurma dapat membantu meningkatkan kualiti sperma daripada segi bentuk dan kelajuan.
 
Kualiti sperma sangat penting sebagai pengukur untuk mengetahui tahap kesuburan lelaki. Ini berkait rapat dengan cara hidup dan pemakanan.
 
Oleh itu, lelaki perlu mengambil pemakanan yang mempunyai gizi seimbang.
 
Kajian mendapati antioksidan, selenium, zink, omega 3, koenzim (CoQ10), karnitin dan makanan lain yang kaya dengan nutrien tertentu amat membantu dalam meningkatkan kualiti sperma lelaki.
 
Terdapat tujuh nutrien tambahan dalam kurma yang boleh membantu meningkatkan mutu sperma lelaki. Nutrien pertama ialah antioksida. Tekanan oksidatif dan kekurangan antioksidan adalah antara faktor mengganggu kualiti sperma apabila ia merosakkan DNA dalam sperma.
 
Tubuh memerlukan antioksida untuk membantu memperbaiki sel dan DNA yang rosak. Oleh itu, kerosakan sel serta DNA akibat tekanan oksidatif perlu diperbaiki.
 
Kurma mengandungi antioksida diperlukan badan. Ini disokong kajian dilakukan oleh pengkaji dari Tunisa pada 2009 yang mendapati, kurma tinggi antioksida dan mampu membantu meningkatkan kualiti sperma.

Nutrien kedua adalah zink iaitu antara mineral penting dalam tubuh. Zink membantu melindungi sperma daripada rosak akibat serangan bakteria. Dengan kata lain, ia juga memainkan peranan penting sebagai antibakteria.
 
Di samping itu, ia turut mengurangkan kerosakan pada kromosom dalam sperma.
Zink juga memainkan peranan penting dalam perkembangan testis dan proses penghasilan sperma iaitu spermatogenesis.
 
Kekurangan zink boleh mengganggu spermatogenesis dan punca masalah daripada segi morfologi yang dikenal pasti sebagai teratozopsermia. Ia juga mampu mengganggu tahap testosteron serum lelaki.
 
Di dalam kurma terdapat lebih kurang 0.29 miligram (mg) hingga 0.44 mg zink per 100 gram (g). Ia bergantung pada jenis kurma. Contoh, sebiji kurma medjool mengandungi lebih kurang 0.11mg zink iaitu bersamaan satu peratus berdasarkan peruntukan diet harian disarankan (RDA) untuk lelaki.
 
Nutrien seterusnya adalah selenium. Ia adalah mineral dan komponen penting terkandung dalam selenoprotein.
 
Selenium berfungsi sebagai antioksidan bagi melindungi sperma daripada spesies oksigen reaktif (ROS) yang mana ia adalah elemen yang mengganggu ketika proses penghasilan sperma (spermatogenesis).
 
Kajian membuktikan, kekurangan selenium dalam badan boleh mengganggu jumlah, pergerakan dan morfologi sperma.

Pada 2017, penyelidik di Pakistan mendapati, suplemen selenium mampu memperbaiki kualiti sperma daripada segi jumlah, pergerakan dan morphologi. Selain itu, selenium mampu membantu meningkatkan nafsu lelaki.
 
Kandungan selenium dalam kurma ialah kira-kira tiga hingga empat mikrogram (mcg) per 100g yang bergantung kepada jenis dan saiz buah berkenaan.
 
Nutrien tambahan keempat dalam kurma ialah frukrosa iaitu kandungan gula dalam kurma dengan 7.7g fruktosa untuk sebiji kurma. Fruktosa mempunyai nilai indeks glisemik (GI) rendah berbanding sukrosa dan glukosa yang sesuai kepada pesakit kencing manis.
 
Bagi pesakit yang gemar makanan manis, mereka boleh mengambil kurma mengandungi fruktosa. Ini kerana rasa manisnya lebih daripada sukrosa dan glukosa, tetapi mempunyai nilai GI rendah. Ia tidak akan mengganggu kesuburan jika diambil pada kadar berpatutan.
 
Nutrien seterusnya adalah serat yang kandungannya tinggi di dalam kurma.
Kandungan serat bagi sebiji kurma seberat 24g ialah hampir 1.6g. Serat antara nutrien yang membantu proses pencernaan dan membantu mengurangkan berat badan.
 
Setiap lelaki dan perempuan perlu mencapai indeks jisim tubuh (BMI) yang ideal. Berat badan ideal dengan BMI di bawah 30 amat membantu dalam menghasilkan sperma berkualiti.
 
Kajian pada 2008 berkaitan berat badan lelaki, kualiti sperma dan masalah mati pucuk mendapati, berat badan juga berkaitan dengan kesuburan lelaki.
 
Kurma kaya dengan vitamin seperti A, D dan K yang mana nutrien ini membantu meningkatkan fungsi pembiakan lelaki. Terdapat kajian menjelaskan kepentingan vitamin D dalam sperma terutama pergerakan.

Vitamin lain dalam kurma bertindak sebagai antioksidan yang boleh mengurangkan kesan tekanan oksidatif terhadap sperma dan ia membantu meningkatkan fungsi sistem pembiakan lelaki.
Nutrien yang turut terdapat dalam buah kurma ialah flavonoid iaitu nutrien yang terdapat dalam tumbuhan tertentu bertindak balas sebagai antioksidan dan anti radang kepada tubuh manusia.
 
Hasil kajian mendapati, kurma mengandungi 13 jenis flavonoid. Selain itu, ia turut mengandungi flavonoid sulfat yang jarang dijumpai dalam tumbuhan.
 
Flavonoid mempunyai potensi yang baik sebagai antioksida dan mengurangkan jangkitan kuman ke atas sistem badan terutama sistem pembiakan lelaki.
 
Pada 2018, pengkaji dari Amerika Syarikat mendapati, flavonoid bertindak sebagai antioksida yang mengurangkan kesan ROS terhadap sperma.
 
Oleh itu, pengambilan kurma dalam jumlah berpatutan secara konsisten mampu meningkatkan tahap kesihatan terutama kesuburan lelaki.

Fitnah dan ghibah

Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.   

Dalam era teknologi maklumat mudah disebar fitnah. Alat yang dicipta telah disalahguna untuk keburukan. Penyebaran fitnah mudah disebarkan melalui alat komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang disebarkan berita. Malah identiti penyebar juga boleh dirahsiakan.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang difitnahkan.

Kita ditegah mencari keburukan orang lain untuk kebaikan diri sendiri. Sebaliknya, lakukan usaha sendiri secara betul untuk mendapat apa dihajati. Lihat dalam diri sendiri mencari kekuatan dan kelemahan diri. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban diri sendiri.” - (Hadis riwayat Muslim).

Jika kita gagal melakukan sesuatu jangan dipersalahkan kepada orang lain. Menyalahkan orang lain tidak menyelesaikan masalah. Malah, masalah menjadi semakin kusut apabila saling tuduh menuduh.     

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa fitnah  tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnahkan memberi keampunan. 

Kita fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang yang diumpat bagi memohon maaf. Betapa besarnya dosa jika fitnah itu ditujukan kepada kelompok orang ramai. 

Dosa fitnah tidak diampunkan biarpun telah bertaubat. Jadi berhati-hati apabila bercakap agar tidak terlanjur melakukan fitnah.  Jika terlepas cakap, lebih baik mengaku kesalahan itu. Mudah-mudahan orang difitnah secara lepas cakap itu memaafnya.    

Dosa membuat fitnah menghalang seseorang daripada memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana dirinya akan diberikan malu oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” - (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari Abu Zar).

Ajaran Islam bukan saja menegah menyebarkan berita fitnah, bahkan berita benar sekalipun jika orang berkaitan berita itu tidak mahu ia disebarkan. Jika menyebar berita benar dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Menceritakan hal benar yang tidak disukai orang dipanggil ghibah. Rasulullah menjelaskan makna ghibah dan melarang ia dilakukan apabila ditanya seorang sahabat.  

Tanya sahabat: “Wahai Rasulullah, apa itu ghibah?” Baginda menjawab: “Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu di belakangnya.” Kemudian sahabat bertanya lagi: “Bagaimana jika apa disebutkan itu benar?” 

Baginda menjawab dengan sabda bermaksud: “Kalau apa disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika perkara itu tidak benar, engkau sudah melakukan buhtan (pembohongan besar).” - (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).

Teguh ucap perkataan buruk

Rasulullah banyak memperkatakan mengenai tegahan mengucapkan perkataan yang buruk. Tegahan itu sebenarnya satu ketetapan hukum yang jelas sesiapa meninggalkannya mendapat pahala dan melakukannya satu dosa.

Hakikat ini dinyatakan dalam sabda Rasulullah bermaksud: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang melaksanakannya.” – (Hadis riwayat Abu Mansur ad-Dailami).  Hukum bermakna satu perintah yang mesti dipatuhi.

Mungkin ramai berkata, jika tidak bercakap nanti dianggap oleh orang lain bersikap sombong dan seperti orang bodoh. Perintah berdiam itu sebenarnya apabila dirasakan perkara dicakapkan itu akan menjuruskan kepada pengeluaran perkataan yang tidak baik. 

Tidak sukar untuk membezakan topik mendatangkan perkataan buruk. Tambahan pula jika dikenal pasti orang-orang yang bercakap itu memang suka bercakap perkara buruk. Dalam situasi itu adalah lebih baik berdiam diri. 

Justeru, apabila dalam keadaan diam, maka tidak akan terucap perkataan buruk. Ketika itu cubaan amat berat kerana sifat buruk sentiasa dibisikan oleh syaitan. Syaitan akan cuba menguasai hati dan fikiran agar turut memperkatakan perkataan buruk. Untuk mengelak dikuasai oleh syaitan, banyak-banyaklah memohon perlindungan dari Allah dari pengaruh syaitan direjam dengan mengucapkan ‘auzubillahi minasyaitanni rajim’.

Jika dirasakan tidak mampu berdiam diri, maka lebih baik meninggalkan tempat itu. Tindakan itu mungkin dianggap biadap dalam pengertian hidup bermasyarakat atau berkawan, tetapi itu lebih baik daripada mendapat kemurkaan Allah. 

Oleh itu sesiapa yang mengawal daripada mengucapkan perkataan buruk bermakna menjaga dirinya daripada kemurkaan Allah. Justeru, balasan baik dijanjikan kepada mereka yang berjaya mengelak dari mengeluarkan perkataan buruk. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang) maka Allah akan menutup kecelaannya (hal-hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya.  Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya.” – (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).

Sesungguhnya mengawal lidah daripada berkata-kata perkara buruk merupakan lambang keimanan. Sesungguhnya mereka yang beriman tidak sekali-kali akan memperkatakan perkara yang ditegah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik maupun dia diam.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis lain pula dikatakan tidak lurus (sempurna) iman seseorang yang tidak lurus pada lidahnya. Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya bermaksud: “Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehinggalah lurus pula lidahnya.  Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya.”.

Di antara perkataan buruk yang sering diucapkan ialah membuat fitnah. Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217 bermaksud: “Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.”

Maka sebab itu ada pepatah menyebut lidah itu lebih tajam daripada pedang. Pedang yang disalahgunakan atau tidak dijaga dengan baik pasti mendatangkan bahaya kepada diri orang lain dan mungkin juga kepada pemiliknya. 

Sesiapa yang menjaga mulutnya, maka dia diberi balasan syurga. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah dalam sabdanya diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud: “Sesiapa memberi jaminan kepadaku apabila yang di antara dua tulang rahangnya (lidah) dan yang di antara dua kakinya (kemaluan), nescaya aku akan menjamin baginya syurga.”.

Jika seseorang berjaya mengawal mulutnya dijamin ke syurga, maka sebaliknya jika gagal mengawalnya. Seorang sahabat pernah menanyakan kepada Rasulullah apakah sebab terbesar seseorang masuk neraka, maka baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Dua rongga badan iaiatu mulut dan kemaluan.” – (Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah). 

Jelaslah menjaga lidah itu amat penting dalam menjamin kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Mereka yang hidup dalam keadaan lidahnya hanya menyebut perkataan baik, dialah seorang yang bijak dan darjatnya tinggi di sisi Allah.

Jaga percakapan elak perkara buruk

Menjaga mulut bermakna mengucapkan perkataan yang baik-baik dan mengelak daripada keluar perkataan mendatangkan keburukan. Bagaimanapun, seringkali berlaku ketika bercakap terkeluar perkataan tidak baik dengan tidak sengaja. Keadaan itu memang sukar dielakkan. 

Justeru untuk mengelak terkeluar perkataan tidak baik dengan sengaja ialah diam. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah melalui sabda bermaksud: “Sesiapa diam, nescaya dia terlepas (daripada bahaya).” – (Hadis riwayat Tarmizi). 

Bagaimanapun, hadis tersebut  tidak pula bermakna Rasulullah melarang daripada bercakap. Sebaliknya ia lebih berupa satu peringatan. Orang yang mementingkan nilai baik dalam kehidupan pasti sentiasa berhati-hati setiap kali bercakap.

Untuk mengelak memperkatakan sesuatu perkara buruk ialah menjauhkan diri daripada situasi yang mendorong perkataan-perkataan buruk diucapkan. Contohnya, jauhkan diri daripada mereka yang dikenali sering bercakap perkara-perkara tidak baik. Jika kita bersama-samanya, sudah pasti turut sama terpengaruh mengucapkan perkataan itu.

Didapati ramai yang mengamalkan perbuatan mengumpat, mencela, berbohong, mencarut dan bersaksi dusta disebabkan pengaruh kawan. Setiap kali mendengar perkataan buruk itu dia akan mempengaruhi jiwa agar menyukai perkataan itu biarpun diketahui baik. Mula-mula suka mendengar sahaja, tetapi lama kelamaan turut mengucapkannya.

Berkawan dengan orang berpekerti rendah menyebabkan perbuatan buruknya ‘berjangkit’ kepada seseorang. Sebab itu soal memilih kawan perlu diambil berat agar tidak mendatangkan keburukan akibat kawan itu. Sebab itu dikatakan untuk mengenal seorang itu, lihatlah siapa kawannya.

Sudah kebiasaan apabila berada dalam kumpulan lebih daripada seorang, maka terkeluar percakapan yang diselang seli dengan kata-kata tidak baik. Malah banyak perkataan yang bermaksud buruk diucapkan secara berbisik-bisik. Tujuan berbisik-bisik itu dirasakan ‘terbaik’ untuk mengelak perkara merebak didengari oleh ramai orang.

Sebenarnya biarpun dalam keadaan berbisik-bisik, ia tetap ditegah dan mendatangkan mudarat. Seseorang tidak akan berbisik-bisik jika perkara berbentuk kebaikan. Hanya perkara buruk yang akan disembunyikan.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah. Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah, yang kepada-Nya kamu kelak bakal dihimpunkan.” – (Surah al-Mujaadalah ayat 9).

Pendekatan guru sebagai pendidik

Dalam menjalankan tugas sebagai pendakwah, guru perlu mempunyai kaedah dan pendekatan yang sesuai agar apa yang diharapkan akan mencapai kejayaan. Banyak perkara yang dilakukan dengan ikut suka hati tidak akan mencapai kejayaan. Perlu diingat, dalam apa juga usaha, ia mempunyai kaedah dan pendekatan yang berbeza. 

Jadi, guru perlu berusaha meningkatkan pengalaman dan pengetahuan dalam melaksanakan tugas.  Biarpun telah berpengalaman menjadi guru, tidak bermakna mereka tidak perlu mencari dan mengusahakan kaedah yang sesuai dengan keadan semasa. Pendekatan dan kaedah perlu disesuaikan dengan perubahan masa dan tuntutan pada waktu itu.

Proses mendidik dan menimba ilmu sememangnya perkara yang diutamakan dalam Islam, Maka itu, untuk menjadi muslim yang lebih sempurna, proses mencari ilmu perlu dilakukan sepanjang masa. 

Menuntut ilmu tidak hanya semasa di alam persekolahan saja, tetapi merupakan satu proses yang berterusan. Sekarang ini banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian sepanjang hayat kepada pelajar dari golongan bekerja dan sudah berusia. Ambillah peluang untuk terus belajar, kerana ganjaran bagi mereka yang belajar amat besar.

Untuk mencapai kejayaan dalam apa jua usaha bukan saja bergantung kepada kesungguhan, tetapi jaga cara atau kaedah ia dilakukan. Sebab itu ada kalanya kita melihat orang yang bersungguh-sungguh melakukan usaha, tetapi tidak mencapai seperti yang diharapkan. 

Sedangkan ada orang yang secara bersederhana dan bijaksana melakukan tugas dalam masa singka mudah mencapai apa yang dihajati. Maka itu, pendakwah perlu mempelajari dan menguasai metodologi yang sesuai utuk melakukan dakwah. Kena dengan metodologi yang sesuai, kita dapat melakukan tugas dengan mudah dan tidak memberi tekanan kepada kita.

Situasi atau suasana hidup sentiasa berubah.  Perkara yang betul pada hari ini mungkin tidak lagi sesuai untuk digunakan pada hari esok. Begitu juga cara melaksanakan dakwah. Kita tidak boleh selamanya mengatakan yang betul pada masa dulu betul juga pada masa sekarang. Cara terbaik ialah kita sentiasa mengikuti perkembangan dan keperluan semasa. 

Berusahalah untuk mengemaskinikan kemahiran dan cara untuk berdakwah. Pendakwah perlu mengikuti masa dan memanfaatkan tekanologi yang ada. Pendakwah perlu berani untuk berubah. Hari ini dalam dunia teknologi yang berkembang pantas, pendakwah juga perlu berubah memanfaatkan teknologi itu seperti berdakwah di alam maya.

Seperti bidang tugas lain, persiapan untuk melaksankan tugas amat penting. Kita tidak boleh sekadar menjadi bidan terjun. Hari ini kita berdepan dengan mereka yang bijak dan sentiasa mencari ilmu. 

Sebagai pendakwah, persiapan yang teliti dan kemaskini perlu dilakukan sebelum melaksanakan tugas yang penting ini. Buatlah persiapan yang bersesuaian dengan cabaran dan keperluan semasa. Anggaplah perkara ini umpama peluru untuk berdepan dengan musuh yang ditembak tepat untuk memastikan apa yang disampaikan itu benar-benar dapat diterima oleh orang ramai.

Sikap ambil mudah terhadap persiapan yang diperlukan menyebakban banyak pendakwah tidak dipedulikan oleh orang ramai. Mereka sekadar bercakap, tetapi orang ramai tidak memahaminya. Paling sedih ada pendakwah dimalukan oleh orang ramai disebabkan fakta dan kaedah digunakan tidak betul. 

Setiap tugas tentu berdepan dengan cabaran. Namun cabaran itu boleh diatasi jika kita bijak mengawal keadaan dan memperbaiki apa yang perlu ditambahbaikkan. Segalanya-galanya perlukan kepada kebijaksanaan dan tindakan yang tepat dalam mendepani masalah yang timbul. Jadikan masalah atau cabaran itu sebagai satu motivasi untuk lebih berusaha dan kreatif dalam melakukan tugas. 

Mereka yang mudah menyerah kalah kepada cabaran tidak layak untuk bergelar pendakwah. Kita perlu mencontohi bagaimana usaha dakwah yang dilakukan oleh para nabi. Mereka bukan saja berdepan penolakan oleh kaumnya, tetapi juga dihalau, dipulau, dicederakan dan ada yang dibunuh. 

Masalah yang dihadapi oleh pendawkwah sekarang amat kecil jika dibandingkan apa yang telah dilalui para nabi. Maka, itu bersiap sendialah dengan segala apa yang dimiliki demi melaksanakan tugasan dakwah.

Beban tugas guru

Dulu guru dianggap pendidik dalam semua hal.  Sebab itu, ibu bapa menyerah sepenuhnya kepada guru tugas untuk mendidik anak masing-masing tanpa sebarang perasaan rugu dan prejudis. Guru dianggap adiguru yang tahu dan bijak dalam segala bidang. 

Jadi, guru boleh melakukan apa saja terhadap setiap pelajar perkara yang difikirkan baik.  Hubungan guru dengan murid ibarat seperti bapa dengan anak. Jadi, amat mudah untuk guru pada masa dulu mendidik anak murid untuk menjadi insan berguna kepada agama bangsa. 

Namun, segalanya sudah berubah.  Guru hanya dianggap menjalankan tugas di sekolah.  Guru tidak boleh memandai untuk melakukan itu ini terhadap muridnya.  Silap hari bulan, \guru akan disaman oleh ibu bapa pelajar disebabkan sesuatu tindakan yang tidak disenangi. 

Guru sekarang dilarang keras merotan atau mendenda pelajar yang melakukan kesalahan disiplin atau tidak mematuhi apa yang disuruh.  Sedangkan perkara ini adalah dianggap kaedah paling berksasan untuk mendisiplinkan pelajar. 

Disebabkan perubahan iklim batasan tugas atau kuasa guru, masalah disiplin pelajar semakin menjadi-jadi. Pelajar sudah menjadi keras kepala dan tidak menghormati guru. Perbuatan melanggar disiplin, buli, ponteng sekolah dan sebagainya sudah semakin tidak terkawal.  
           
Untuk mengatasi masalah ini, kuasa guru perlu dikembalikan seperti dulu.  Tindakan merotan dan mendenda pelajar yang melanggar disiplin perlu diserahkan semula kepada guru. Namun, pada masa yang sama, guru sendiri perlu bertindak bijak dalam menjalankan tugas.  Jangan terlalu ikut emosi dan tindakan keterlaluan.      

Islam mengajar kita secara berhemah dan berperingkat-peringkat.  Jangan ambil tindakan sebarangan.  Amalan bersederhana itu dituntut oleh agama.  Ini sesuai dengan metodologi dakwah yang menekankan kepada kasih sayang dan memberi tunjukajar.

Beban tugas antara yang menghalang kesempurnaan tugas.  Manusia tidak mampu untuk melakukan semua tugas yang diserahkan jika terlalu banyak dan di luar batasan kerupayaan dari segi masa, kepakaran dan peluang untuk melakukan.     

Sekarang ini didapati tugas guru tidak hanya semata-mata mengajar di dalam kelas.  Mereka juga terlibat dengan tugas pentadbiran dan pengkeranian.  Guru turut dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas kemasyarakatan, menghadiri kursus dan sebagainya.  Hal ini menyebabkan tumpuan guru dalam melakukan tugas mengajar tidak dapat diberikan sepenuhnya. 

Ada guru yang menginggalkan kelas semata-mata ada komitmen lain.  Kalau guru tidak berpeluang sepenuhnya bersama dengan pelajar, tentu sekali proses pembelajaran dan dakwah akan terganggu.  Sudahlah masa yang diperuntukkan untuk seseorang guru mengajar agak terhad.  Maka semakin kuranglah guru dapat melaksanakan tugas hakikinya iaitu mengajar.

Untuk mengatasi msalah ini, pihak pentadbiran sekolah dan Kementerian Pelajaran perlu merangka pembahagian tugas yang lebih memberi peluang untuk guru melaksanakan tugas hakiki secara teratur.