Sunday 7 April 2024

KENDERAAN MEWAH MENJADI BIAWAK HIDUP

 
Saya mempunyai beberapa rakan yang menggunakan kereta mewah Vellfire dan Alphard.
Harganya bukan murah, melebihi RM300 ribu untuk jenis eksklusif engin V6, tempat duduk mewah dengan kelengkapan moden. Sekarang mereka semua mahu menjual kereta mewah tersebut.
 
Vellfire adalah sebuah MPV besar tujuh tempat duduk atau lapan yang menjadi raja MPV di Malaysia sejak Toyota Jepun memperkenalkannya pada 2008.
 
Pada tahun 1999 Toyota telah menghasilkan MPV yang dikenali dengan nama Granvia.
Ia menggunakan kerangka “van” Hiace yang mengekalkan konfigurasi pacuan roda belakang tetapi diserapkan dengan elemen mewah di bahagian kabin.
 
Saya masih ingat pada zaman tersebut hanya para kontraktor yang ramai membeli Granvia atau high end Hiace ini. Orang biasa jarang membeli kerana terlalu besar untuk menyelit dalam trafik.
 
Apabila Alphard dikeluarkan, Nissan cuba meletakkan nama Elgrand mereka di hadapan.
Honda mencuba pada 2004 dengan Elysion tetapi menghentikannya pada 2013.
 
Pada 2008 banyak Vellfire dibawa masuk sebagai kereta reconditioned (recond) oleh pemegang permit AP yang kebanyakan adalah syarikat Melayu tetapi di Ali-Babakan.
 
Tiba-tiba rakyat Malaysia berebut membeli Vellfire sebagai status simbol dengan dimulakan oleh ahli politik
.
BBNU, usahawan baru dan para asatizah sanggup membayar ansuran lebih RM3000 sebulan untuk memiliki Vellfire atau Alphard recond.
 
Golongan artis dan penyanyi pula anggap kereta mewah ini sebagai satu status simbol dan making a statement - ‘I have arrived’.
 
Harganya sekitar RM300,000 hingga RM400,000 untuk spesifikasi paling rendah 2.5 X hingga spesifikasi sederhana ZG. Model 3.5 EL pula lebih setengah juta ringgit.
 
Sekarang ini dengan suasana ekonomi yang tidak menentu kereta mewah seperti Vellfire dan Alphard sudah menjadi satu liabiliti besar.
 
Setiap bulan mana 'nak cekau' duit RM3 ribu hingga RM5 ribu bayaran bulanan untuk mereka yang hilang pekerjaan atau perniagaan merudum.
 
Seperti yang pernah saya katakan hidup ini janganlah terlebih besar periuk kerana akan besar keraknya. Akhirnya nanti anda terpaksa makan kerak kerana kehabisan nasi.
 
Hiduplah secara 'modest' dan sederhana tanpa berhutang. Tak kisah pun dengan Myvi dan Iriz asalkan kenderaan tersebut tidak menjadi biawak hidup.
 
Apa yang penting dalam geran kereta tersebut tertera nama anda dan bukan nama bank.
 
Oleh:
Ir. Zainuddin Omar